Menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui perkongsian ilmu




Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





TUNGKU LINK, Isnin, 13 April. - Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Print Plus Sendirian Berhad (Print Plus) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi reka bentuk, percetakan dan pembekalan Mushaf UTB A5 (Edisi Wakaf) sebagai langkah ke arah memperkukuh program akademik, kerohanian serta komuniti.


Majlis penandatanganan MoU berkenaan berlangsung di Bilik Persidangan Utama UTB.


Perjanjian berkenaan dimeterai oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; dan Pengurus Besar Print Plus, Awang Muhammad Reeda bin Haji Malik.


Penandatangan MoU berkenaan disaksikan oleh Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua serta Ketua Jualan dan Pemasaran Print Plus, Awang Haji Aylwin bin Alimin.


Kerjasama berkenaan mewujudkan satu rangka kerja yang jelas meliputi terma komersial, spesifikasi teknikal, penetapan harga serta pengaturan operasi bagi memastikan pelaksanaan Mushaf UTB (Edisi Wakaf) berjalan lancar.


Melalui kerjasama berkenaan, kedua-dua pihak berhasrat untuk meningkatkan akses kepada Al-Quran bagi para pelajar dan masyarakat umum, di samping menyokong inisiatif pengajaran, pembelajaran dan pembangunan kerohanian di universiti berkenaan.


Inisiatif berkenaan juga dijangka dapat menggalakkan budaya memberi melalui wakaf serta mewujudkan impak berpanjangan yang melangkaui lingkungan UTB.


Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah dalam ucapan alu-aluannya berkata, Mushaf Wakaf UTB merupakan sebahagian daripada inisiatif Sambutan Ulang Tahun UTB Ke-40 dan bertujuan untuk memberikan peluang kepada individu dan organisasi untuk menyumbang ke arah penyediaan dan pengagihan Mushaf Al-Quran UTB ke masjid-masjid, surau-surau, sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi serta masyarakat di seluruh negara.


"Melalui usaha ini, inisiatif tersebut menyokong pengayaan pendidikan, penglibatan keagamaan dan kesejahteraan masyarakat," ujarnya.


Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah seterusnya menambah, kerjasama dengan Print Plus memainkan peranan penting dalam merealisasikan inisiatif murni berkenaan.


Melalui kepakaran dalam percetakan dan pengeluaran berkualiti tinggi jelas Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah lagi, Print Plus akan menyokong penyediaan Mushaf UTB serta memastikan hasil akhir mencerminkan kecemerlangan, ketepatan dan penghormatan tertinggi terhadap kitab suci itu.


"Justeru, kerjasama ini melambangkan sinergi yang bermakna antara visi institusi dan keupayaan industri," ujar Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah lagi.


Sementara itu, Awang Muhammad Reeda pula menzahirkan rasa berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan UTB dalam melaksanakan inisiatif berkenaan dan komited untuk menghasilkan Mushaf yang memenuhi piawaian tertinggi dari segi kualiti dan tujuan.


"Di Print Plus, kami percaya percetakan bukan sekadar penghasilan, tetapi juga usaha memelihara ilmu dan mencipta impak," ujarnya.


Kerjasama antara UTB dan Print Plus berkenaan dijangka memperkukuh hubungan kerjasama antara institusi dan industri, selain membuka peluang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama pada masa hadapan serta menyumbang kepada pembangunan komuniti yang mampan melalui perkongsian ilmu dan usaha wakaf.

Close